Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan
dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam
ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak
peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah
kepada makhluk-nya.
Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan
mujizat kepada Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah
kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai
tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka
(antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu,
masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.
Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, “Hari ini Allah SWT memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw: “Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu.”
Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat
agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang
melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya
sepanjang tahun ini. Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, “Barangsiapa yang
berpuasa pada hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun.” Maksud hadis
ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan
kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah
membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.
Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan
yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini
disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan
ini sepertimana terdapat dalam satu hadist. “Sesiapa yang berpuasa pada hari
Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu
malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah
dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim
pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu
darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan
mengenyangkan perut mereka.” Sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, Allah telah
melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari.” Jawab
Rasulullah, “benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura,
dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari
Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan
Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta
memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api
pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub.
Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat
kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi
Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura.” Maka pada
hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur
kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah
setelah beratus-ratus tahun lamanya memohom keampunan.
Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi
orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari
itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini
mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman,
Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah
buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang
Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga
kepada Allah swt.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada
10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi
dengan sepuluh kehormatan.
1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada
hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam.
Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda
Allah menaikkan darjat baginda.
3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang
melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang
sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara
40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40
keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu,
mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.
4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah
(kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang
dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah
memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim.
Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejamanNamrud.
5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud
merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri,
masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami
rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia
untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah
Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan
kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.
6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana
Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan
kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.
7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman
Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar
yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk
dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun
dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang
dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi
Musa a.s
8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua
harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan
berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.
9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada
selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak
langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam
ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan
mengeluarkannya dari perut ikan Nun.
10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam
sebagai penghormatan kepada baginda. Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah
kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw telah bersabda
dengan maksudnya: “Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah
wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa,
maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh meninggalkannya.”
Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa
pada hari Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat
baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya
adalah sunat.
Sumber : www.pkpu.or.id
Tidak ada komentar:
Posting Komentar